BLOG4FT

Wednesday, January 27, 2010

BELON UDARA PANAS KEMBALI LAGI DI PUTRAJAYA




Pesta Belon Udara Panas Antarabangsa kali kedua yang bakal berlangsung di Putrajaya pada Mac ini dijangka menarik lebih 100,000 pengunjung ke Putrajaya. Pesta berkenaan akan berlangsung selama 4 hari mulai 18 hingga 21 Mac ini . Pesta ini adalah antara acara besar bagi tahun ini yang bakal mempromosikan negara di mata dunia.

Pesta ini adalah satu usaha menarik seramai mungkin pengunjung terutamanya pelancong luar negara untuk datang ke negara ini dan menjadikan Putrajaya sebagai destinasi percutian tetap dan mesti dikunjungi mereka.

Bagi memeriahkan lagi acara ini nanti, pihak Perbadanan Putrajaya akan menyediakan lima belon udara panas kepada orang ramai yang ingin merasai pengalaman menarik menaiki belon udara iaitu pada jam 8 pagi hingga 11 pagi dan pada jam 6 petang hingga 9 malam.Yang pasti,acara ini sememangnya dinanti-nanti oleh orang ramai.

Orang ramai pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat panorama belon udara yang cantik dan juga peluang untuk merasai sendiri pengalaman belon tersebut yang sememangnya sukar diperolehi. Jadi tak mustahil sekiranya orang ramai berpusu-pusu datang semata-mata tidak mahu mensia-siakan peluang tersebut.

Pada kali ini objektif pesta terbabit adalah untuk mempromosikan kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia selain mengetengahkan Putrajaya sebagai pusat pelancongan.Ini semestinya bersesuaian dengan tema 1 Dunia, 1 Malaysia, 1 Pesta. Diharapkan acara dapat menonjolkan keunikan dan keharmonian masyarakat negara ini kepada pengunjung luar.

Lokasi Putrajaya yang sangat strategik dan menarik menjadi faktor kepada penganjuran pesta belon udara panas itu.Ini kerana terdapat banyak kawasan lapang di Putrajaya dan ini memudahkan belon melakukan pendaratan terutamanya apabila berlaku kecemasan.

Pemandangan menarik dan keadaan geografi di sini membolehkan orang ramai melihat belon panas ketika dilepaskan di udara

Pesta terbabit adalah anjuran Perbadanan Putrajaya, Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF) dan AKA Ballon Sdn Bhd. Sebanyak 23 belon panas yang akan dibawa dari 12 negara antaranya, Amerika Syarikat, Jepun, Perancis, New Zealand termasuk Malaysia.

PESTA Belon Udara Putrajaya 2009 yang telah diadakan di kawasan letak kereta Monumen Alaf Baru, Presint 2, Putrajaya pada tahun lepas telah mendapat reaksi dari orang ramai yang diluar jangkaan. Pada tahun ini acara belon udara dijangka akan mendapat reaksi yang sama dari orang ramai.

Yang lebih menarik minat pengunjung adalah pertunjukan yang menampilkan pelbagai jenis belon udara panas termasuk berbentuk burung merak, badut, kepala gajah dan cawan.Reka bentuk belon-belon ini sememangnya memukau mata memandang.


Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web ini : http://www.myballoonfiesta.com

No comments:

Post a Comment