BLOG4FT

Thursday, January 28, 2010

HARI WILAYAH PERSEKUTUAN AKAN TIBA LAGI.......



Bendera Wilayah Persekutuan

Tanggal 1 Februari 2010 adalah hari Wilayah Persekutuan. Wilayah Persekutuan adalah gabungan 3 wilayah iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berusia 36 tahun, Wilayah Persekutuan Labuan, 26 tahun dan Wilayah Persekutuan Putrajaya berusia 9 tahun pada tahun 2010. Sambutan Hari Wilayah Persekutuan merupakan acara rasmi tahunan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Tahun ini merupakan kali keenam acara ini disambut secara bersama dengan menggabungkan ketiga-tiga Wilayah iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya



Bendera Kuala Lumpur


Bendera Putrajaya


Bendera Labuan

Kuala Lumpur telah ditubuhkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974, seterusnya menjadi ibu negara Malaysia. Pada 16 April 1984, Labuan yang dahulunya sebahagian daripada pentadbiran Sabah dibawa masuk kedalam Wilayah Persekutuan dan diletakkan di bawah pentadbiran Perbadanan Labuan. Pada 1 Februari 2001, Putrajaya pula ditubuhkan sebagai Wilayah Persekutuan ketiga dan diletakkan di bawah pentadbiran Perbadanan Putrajaya. Putrajaya kemudiannya menjadi pusat pentadbiran yang baru bagi Malaysia.

Pada tahun ini Majlis Pelancaran Sambutan dan Festival Hari Wilayah Persekutuan Tahun 2010 akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Sambutan pada tahun ini agak istimewa kerana majlis pelancarannya akan dirasmikan serentak oleh Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Tema sambutan yang dipilih pada tahun ini ialah “1Wilayah Persekutuan Maju dan Sejahtera”. Pemilihan tema ini sejajar dengan usaha mengukuhkan peranan dan sumbangan Wilayah Persekutuan terhadap kemajuan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat selaras dengan gagasan konsep 1Malaysia iaitu “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Walaupun pelancaran sambutan pada kali ini akan dilaksanakan secara sederhana, ianya dijangka akan lebih meriah kerana melibatkan penyertaan dari pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa dalam bentuk perhimpunan rakyat 1Malaysia.Selain dari itu, sambutan kali ini juga akan diceriakan dengan pelbagai acara yang semestinya menarik dan menghiburkan seperti konsert artis tempatan, persembahan kebudayaan dan petunjukan bunga api.Yang pasti sambutan kali ini tetap meriah.

Sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2010 juga terdapat banyak lagi acara-acara yang akan dijalankan antaranya adalah , Cabaran Keluarga X Race 1Malaysia yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Kementerian Wilayah dan Kesejahteraan Bandar yang mana acara ini akan menawarkan hadiah wang tunai bernilai lebih RM6,000.
Pertandingan ini akan dilangsungkan pada 1 Februari bermula pada jam 11 pagi hingga 2 petang. Acara ini menjadikan sekitar Kuala Lumpur sebagai lokasi kejohanan iaitu bermula di Dataran DBKL dan berakhir di Dataran Merdeka.

Selain itu, terdapat juga acara Kejohanan Bola Sepak 5 Sebelah 1Malaysia juga anjuran Kementerian Wilayah dan Kesejahteraan Bandar bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, pada 6 Februari depan. Dua kategori dipertandingkan iaitu terbuka lelaki dan media/jemputan/artis.

Putrajaya juga tidak ketinggalan untuk mengadakan acara sempena sambutan hari wilayah kali ini.‘Putrajaya Night Marathon’ acara larian yang diadakan sempena Hari Wilayah 2010 ini telah mendapat sambutan luar biasa daripada pelari tempatan dan luar negara.

World Action Sports Sdn Bhd, penganjur utama pertandingan dengan kerjasama Kementerian Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, menganjurkan larian itu sebagai satu acara sambutan selama sebulan Hari Wilayah yang ke-36.

No comments:

Post a Comment