BLOG4FT

Tuesday, January 12, 2010

MONUMEN ALAF BARU PUTRAJAYA


Monumen terbaru di Putrajaya yang dikenali sebagai Monumen Alaf Baru ini merupakan satu lagi mercu tanda negara yang sememangnya dibanggakan seluruh rakyat negara ini. Monumen pencakar langit yang mempunyai ketinggian 68 meter ini berdiri gah di tepi sebuah tasik di Presint 2, Putrajaya berdekatan dengan bangunan pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Idea tentang pembinaan monumen ini telah dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Tanggal 30 Ogos 2003, terciptalah satu lagi sejarah dimana Dr. Mahathir telah merasmikan monumen tersebut. Menariknya, semasa pelancaran itu, beliau turut meletakkan perutusan khas di dalam kapsul masa untuk dibaca pada tahun 2020. Kapsul masa yang ada di dalam bentuk cip itu diletakkan pada dinding di dasar monumen berkenaan.

Uniknya monumen ini kerana pembinaannya yang diinspirasikan daripada bentuk bunga kebangsaan dan kebanggaan malaysia iaitu bunga raya.

Pembinaannya diilhamkan untuk mendokmentasikan sejarah kegemilangan negara melalui rekabentuk yang mengenengahkan kesenian dan keindahan warisan budaya dan Negara.

Di bahagian puncak monumen ini terdapat lampu suar yang berputar 360 darjah yang menjadikan monumen ini sebagai rumah api. Cahaya lampu yang terang dapat dilihat daripada pelbagai lokasi dan juga akan menjadi panduan kepada bot-bot yang belayar di tasik berdekatan.
Monumen itu dibina dengan menggunakan tiub besi waja yang diperkukuh dengan struktur-struktur besi dan dibahagian tengah monumen itu pula ditutup dengan bahan aluminium. Di bahagian tengah monumen ini mempunyai ukiran yang cukup menarik dan kemas yang mana turut dipahat adalah Rukun Negara.

Pelantar pemandangan monumen ini terdiri daripada 142 panel kaca. Panel-panel kaca ini telah diukir dengan gambar dan fakta sejarah Malaysia dari tahun 1400 sehingga tahun 2000. Fakta-fakta sejarah yang dipaparkan secara ringkas dan padat itu merupakan sumbangan sejarahwan negara iaitu Profesor Emiratus Datuk Dr. Khoo Kay Kim.

Dengan ini, para pengunjung yang melawat monumen itu dapat mengetahui insiden yang berlaku di dalam sejarah tanah air sejak zaman pemerintahan Parameswara dahulu kala sehinggalah perkembangan negara pada tahun 2000. Ini secara tidak langsung, dapat memantapkan pengetahuan orang ramai tentang sejarah negara.

Monumen ini akan menjadi penghubung untuk generasi muda memahami sejarah perjuangan, pengorbanan dan kejayaan pemimpin negara untuk dijadikan pendorong bagi kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.

Sementara itu, corak di bahagian bawah panel kaca itu diilhamkan daripada kain songket yang menonjolkan kreativiti dan kekayaan warisan serta kesenian masyarakat Melayu.



Monumen yang terletak di kawasan seluas 0.9 hektar ini turut menyerlahkan warna yang diilhamkan daripada tepak sirih. Warna tembaga daripada tepak sirih dipilih menjadikan bangunan itu kelihatan seperti sebuah artifak lama. Lokasinya di pinggiran tasik, menyerlahkan keunikan dan keindahan rekabentuk monumen ini. Pada malam hari, cahaya lampu suar (beacon light) menjadikan monumen ini kelihatan lebih indah dan dapat dilihat dari jauh



Monumen yang dibuka dari pukul 9 pagi hingga 10 malam itu, memberi peluang kepada para pengunjung untuk menyaksikan pemandangan indah Putrajaya.

No comments:

Post a Comment