BLOG4FT

Monday, January 11, 2010

Taman sukan ekstrem di Putrajaya



Taman Cabaran Putrajaya yang dibuka dan dirasmikan baru-baru ini bakal menjadi daya tarikan baru bagi pelancong tempatan dan asing, terutama penggemar sukan lasak.

Pembinaan kemudahan sukan ekstrem bertaraf antarabangsa bernilai RM40 juta di taman seluas 28.3 hektar di Presint 5 ini adalah untuk memberi peluang kepada lebih ramai remaja untuk menyertai sukan ekstrem yang kian mendapat tempat di kalangan golongan tersebut

Sebagai permulaan, tumpuan diberikan dalam usaha untuk menarik lebih ramai penggemar sukan lasak tempatan terutama generasi muda di Putrajaya untuk menggunakan kemudahan di taman berkenaan.

Taman ini juga bakal mengangkat martabat Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan sebagai satu destinasi utama aktiviti sukan lasak seperti memanjat tembok batu, basikal bukit dan papan selaju di peringkat antarabangsa.

Salah satu tarikan utama para pengunjung adalah memanjat tembok batu. Dengan reka bentuk terkini tembok tiruan setinggi 20 meter yang telah dibina di dalam kompleks memanjat tembok batu yang berkeluasan 2,100 meter persegi itu mempunyai kemudahan asas bangunan yang lengkap dan menjadi antara yang tertinggi di dunia. Aktiviti ini boleh dicuba oleh peminat pelbagai peringkat umur kerana ia dibina mengikut kategori seperti kanak-kanak, peringkat permulaan sehingga ke peringkat professional.




Bagi aktiviti berbasikal pula, terdapat dua lapangan sukan basikal lasak dibina iaitu untuk basikal bukit dan litar BMX.Kawasan litar untuk basikal bukit sepanjang 9.1 kilometer itu dibina di dalam kawasan hutan semula jadi seperti ladang getah dan kelapa sawit bagi menguji tahap kehebatan sebenar pengguna beraksi di trek semula jadi.


Semua kemudahan sukan lasak di taman itu secara keseluruhannya direka mengikut piawaian antarabangsa manakala perancangannya dibuat dengan menerapkan ciri pengekalan tumbuhan serta kecerunan asal lereng.

Pengekalan kawasan hijau di sekitar Taman Cabaran adalah untuk tujuan pendidikan bagi menerapkan semangat cintakan alam semulajadi di kalangan masyarakat.

No comments:

Post a Comment